Cara Untuk Elakkan Daripada Buat Pinjaman Wang Untuk Berkahwin.



Mula lebih awal
Kepada pasangan muda ingin berkahwin, dinasihatkan semak cara perbelanjaan setiap bulan. Adakan senarai keperluan. Seeloknya bincang bersama-sama pasangan dan tetapkan tempoh sesuai. Bagi yang belum ada pasangan, jangan ambil mudah. Tak semestinya tiada pasangan ketika ini, anda akan berkahwin kelak, jadi isu ini juga berkaitan dengan anda.

Rahsianya, mulakan lebih awal. Berbincang mengenai majlis, wang simpanan atau apa saja berkaitan perlu dilakukan awal untuk elakkan masalah kemudian hari. Jika dilakukan saat akhir, situasi akan jadi kelam-kabut dan aturan kewangan juga terganggu.

Kaedah menyimpan wang sebenarnya ada 1001 macam cara, yang utama adalah disiplin dan kita tahu apa kemahuan diri. Sebaik-baiknya, mulakan amalan menabung daripada dapat gaji pertama. Perlu diingatkan, menyimpan wang bukannya untuk dihabiskan buat kenduri kahwin, tetapi bermacam-macam lagi kegnaannya.


Perempuan jangan lepas tangan

Selalunya kalau berbincang isu kahwin dan kumpul duit, orang akan fikir ia tanggungjawab lelaki, tapi hakikatnya beban ini perlu ditanggung bersama-sama. Memanglah ada duit hantaran, tapi perlu diketahui bukan semua keluarga gunakan duit terbabit untuk tanggung kos kenduri. Duit hantaran untuk menampung sedikit sebanyak kos itu ini dalam majlis resepsi.

Ada juga kisahnya duit hantaran diberi terus pada anak perempuan selepas kenduri atau dibahagi sama rata dengan mak ayah. Jadi kesimpulannya, si gadis juga perlu bebankan otak jangan hanya biarkan si jejaka ‘kacau kepala’.

Pengalaman mendirikan rumah tangga dikongsi Nur Nasirah Maulod, 23, yang berkata, zaman sekarang memang perlu berkongsi apa saja untuk hidup terutama babitkan isu kahwin. Katanya, dia dan suami sama-sama menabung untuk berkahwin.

“Kalau cuma biarkan lelaki yang keluarkan duit untuk belanja kahwin memang susahlah. Bayangkan nak adakan majlis kahwin di kedua-dua belah pihak, sekurang-kurangnya perlu ada RM25,000 untuk taraf sederhana. 

“Sebagai perempuan, kita impikan perkahwinan yang cukup untuk tinggalkan kenangan indah. Tak perlu berbelanja mewah, cukuplah dengan bajet yang ada. Untuk majlis kahwin sebelah saya, saya gunakan wang sendiri selain dibantu dengan duit hantaran. Secara tak langsung dapat ringankan beban lelaki,” katanya.
Kerja ‘part-time’

Untuk yang bekerja makan gaji, boleh jana pendapatan dengan buat kerja sambilan (part-time). Sudah diketahui 9 daripada 10 punca rezeki datangnya daripada perniagaan, oleh itu apa salahnya berniaga kecil-kecilan untuk tambah wang tabung kahwin.

Mungkin persoalan di mana nak dapatkan modal, tiada pengalaman, tak cukup masa dan sebagainya akan buatkan fikiran terganggu sama ada mahu teruskan misi mencari duit lebih, namun jawapannya perlu tekad untuk memperoleh sesuatu.

Contohnya, mulakan dengan menjual barang peribadi yang belum atau sudah dipakai. Lelong barang dengan harga jualan terpakai mungkin boleh menarik minat pembeli. Hasilkan kek cawan menarik bagi mereka yang suka memasak, sandwic dijual di pejabat atau kerepek dapat tingkatkan duit tabungan. Selain itu, kerja di kedai serbaneka 24 jam, pam minyak atau menjadi jurujual sementara juga dapat membantu. Cuma perlu aturkan masa dengan bijak supaya rasa letih berkurangan.


Menabung bersama

Tip untuk elakkan pasangan muda buat pinjaman perkahwinan, anda boleh menabung bersama-sama. Jika masih belum mencukupi ataupun gaji di paras sederhana, cuba rancang perkahwinan ikut kemampuan.

Diakui Mohd Syazwan Mohamed Shah Affendi, 26, yang menjelaskan jika kebanyakan pasangan muda memilih untuk membuat pinjaman wang perkahwinan, dia lebih senang berusaha lebih dengan menabung.

“Sebolehnya saya tak mahu buat pinjaman, oleh itu saya hadkan masa dua tahun untuk menabung. Saya mula menabung pertengahan tahun lepas (2012) dan bercadang untuk adakan majlis pada Mei tahun depan. Saya dan pasangan peruntukkan kurang lebih RM1,000 untuk simpan setiap seorang.

“Mungkin kedengaran jumlahnya banyak, tapi perlu disiplin kalau betul-betul nak kahwin. Bajet perkahwinan kami sekitar RM50,000 untuk kedua-dua pihak, sebab itu kena berusaha lebih, kerja keras sikit nak capai sasaran. Bayangkan lebih kurang RM2,000 sebulan mungkin dalam tempoh 24 bulan kami dapat kumpul RM48,000, tambah sikit duit tabungan yang lain. Insya-Allah, boleh. “ katanya.

Katanya, bagi mereka kurang mampu menabung dalam jumlah tinggi mungkin boleh mulakan dengan RM500 sebulan. Tapi ia perlukan dilakukan kedua-dua belah pihak. Jika mengharapkan sebelah pihak, mungkin hasrat untuk berkahwin perlu dilanjutkan lagi.


Tahan nafsu

Semua orang sukakan barangan berjenama, kalau boleh setiap kali gaji masuk pastinya tas tangan baru ditambah dalam koleksi sedia ada. Tapi perlu diingatkan, mahukan sesuatu berjenama, berkualiti, harganya juga setanding dengan gaya. Waktu ini perlu tahan nafsu dan sentiasa ingatkan di kepala, anda perlu menyimpan wang untuk berkahwin.

Kurangkan janji temu pada setiap hujung minggu. Memanglah sebolehnya kita mahu menghadap muka kekasih 24 jam tetapi anda perlu tahu, setiap kali melangkah keluar dari rumah, akan ada wang mengalir keluar daripada dompet. Pertimbangkan hal ini!

Pada zaman moden serta kecanggihan teknologi serba baru ini, seperti ada tarikan magnet untuk membeli gajet terbaru di pasaran. Duit bonus belum dapat tapi sudah terbayang gajet terkini dalam genggaman. Mudah saja, kurangkan ambil tahu perihal gajet dan jadikan diri anda seorang yang ketinggalan zaman. Hanya untuk sementara waktu saja, ini semua untuk kepentingan masa depan.

Jika tinggal di rumah sewa, kurangkan makan di luar. Dan lebih berkesan kurangkan menjamu selera di restoran mewah, lebihan duit makan ­tengah hari boleh dimasukkan dalam tabung dan pada sebelah malamnya, masaklah sesuatu untuk kenyangkan perut.

Bermacam-macam lagi tip untuk pasangan muda bina mahligai impian tanpa perlu buat pinjaman. Sesiapa saja sebolehnya mahu elak untuk meminjam wang, tetapi keadaan ada kalanya memaksa. Mungkin dengan ubah cara hidup buat seketika, lebih berdisiplin dan menabung dengan aktif dapat merealisasikan hasrat anda. Apa salahnya tahan tekanan buat sementara, asalkan dapat senyum lebar di kemudian hari.

kredit : harian metro


Post a Comment

Popular posts from this blog

Cheapmon atau Kenan (Kelantan)

Kesan Pil Yasmin Kepada Diri Sendiri

Bukan Takde Jodoh